Pemandangan dari luar Muzium Padi
Sekiranya anda pergi ke Negeri Kedah yang memang sinonim dengan tanaman padi terbesar di Malaysia. Jadi tidak lengkap perjalanan anda ke negeri ini tanpa pergi melihat sendiri bagaimana asal-usul, peralatan dan kaedah penanaman padi dilakukan.
Lokasi
Muzium Padi terletak di Gunung Keriang, 8km dari Bandaraya Alor Setar. Telah dibuka dengan rasminya oleh KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada 12 Oktober 2004, bersamaan 27 Syaaban 1425.Muzium yang berlatar belakangkan Gunung Keriang ini kelihatan seperti berada di tengah-tengah hamparan hijau, jika anda berkunjung pada musim menanam dan dalam hamparan keemasan pada musim padi masak.
Struktur Bangunan
Bangunan yang berbentuk gemai padi ini mempunyai sebuah bangunan induk dan enam buah bangunan sampingan di sekelilingnya. Keluasan keseluruhan Muzium Padi ini ialah 12,000 meter persegi dan mempunyai tiga aras iaitu aras tengah, aras atas dan aras bawah.
- Aras tengah
Pengunjung perlu menaiki tangga untuk memasuki muzium ini kerana pintu utamanya berada pada aras tengah. Sebelum masuk ke dalam pengunjung perlu membeli tiket yang berharga RM5. Pada aras ini terdapat beberapa tarikan yang boleh pengunjung perhatikan.
- Aras atas
Pada aras ini terdapat satu sahaja tarikan iaitu lukisan yang seolah-olah pemandangan sebenar sawah padi serta kegiatan penduduk setempat. Lukisan ini dilukis di dinding bangunan yang berbentuk bulat. Di ruang ini disediakan juga tempat duduk bagi pengunjung ingin melihat lukisan ini secara keseluruhan tanpa perlu berjalan kerana tempat duduk ini akan berputar mengikut arah jam. Bagi pengunjung yang tiada kamera tidak perlu bimbang, kerana terdapat seorang jurufoto yang bersedia merakamkan kenangan disini sambil dikenakan bayaran RM10 .
- Aras bawah
Aras ini lebih fokus pada mempamerkan alat-alat yang digunakan semasa penanaman padi. Terdapat alat-alat tradisional dan juga alat-alat moden. Disamping itu pada aras ini terdapat kedai cenderahati bagi pengunjung yang ingin membeli sesuatu sebagai kenangan peribadi atau hadiah.
Selain Muzium Padi terdapat juga tarikan lain di kawasan Gunung Keriang ini salah satunya Pusat Sains. terletak di belakng sedikit dari kawasan muzium ini. Di dalamnya ada pelbagai permainan yang berasaskan teori-teori sains. Pastinya pengunjung berpuas hati apabila selesai menyaksikan pelbagai tarikan di dalam muzium padi dan ditambah kunjungan ke pusat sains.